Memaparkan catatan dengan label FIKIRKANLAH. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label FIKIRKANLAH. Papar semua catatan

Jumaat, Januari 09, 2009

5 PERKARA BOS PERLU TAHU..

Salam pertemuan salam mesra. Buat tatapan anda sebagai BOS atau anda yang bakal menjadi BOS. Tentu bukan mudah untuk menjadi BOS yang baik dan dihormati oleh anak buah anda namun jika anda memandang rendah atau tidak menghiraukan beberapa perkara seperti di bawah, maka keberangkalian anda untuk menjadi BOS yang baik dan disegani adalah tipis. Oleh itu, fikir-fikirkanlah tentang perkara seperti berikut supaya anda dapat merenung dan melihat kembali sejauh mana kepimpinan anda sebagai BOS yang disegani dan dihormati.

1. MEMBERI SALAM
  • Pernahkah anda melihat atau mendengar BOS anda mula memberi salam kepada anda? Jarang sekali kita perhatikan BOS memberi salam terlebih dahulu kepada anak buahnya TETAPI  anak buahnya sentiasa memberi salam kepada BOSnya DAN kadangkala BOSnya tidak menjawab salam tersebut. Jika anda ingin menjadi BOS yang baik dan dihormati anak buah anda, MULAKAN memberi salam kepada mereka tanpa menunggu mereka menyapa anda terlebih dahulu.
2. BERSAMA-SAMA DALAM MAJLIS
  • Seringkali BOS tidak hadir pada majlis-majlis kecil atau program yang dianjurkan oleh staf bawahannya dan sebaliknya BOS menyerahkan kehadiran tersebut kepada pembantunya. Tanpa BOS sedari,  dia telah mengecewakan staf bawahannya dengan perkara ini. Oleh yang demikian, jika anda sebagai BOS, luangkan masa anda untuk bersama-sama dengan staf anda dalam majlis-majlis atau program bersama mereka kerana jika anda ingin dihormati, maka anda perlu menghormati orang lain terlebih dahulu.
3. MEMBERI PENGHARGAAN
  • Pernahkah BOS anda memberi penghargaan kepada anda? Jarang kita melihat BOS memberi penghargaan kepada anak buahnya walaupun perkara tersebut amat mudah dilakukan. Berilah penghargaan kepada anak buah anda sekiranya mereka berjaya melaksanakan tugas dengan baik dan cemerlang. Berilah sedikit ruang untuk anda mengucapkan SELAMAT HARI LAHIR kepada anak buah anda sekiranya mereka menyambut tarikh kelahiran mereka. Ucapan dan penghargaan yang tidak seberapa ini dapat membuat mereka terasa dihargai dan mengukuhkan lagi kesetiaan mereka untuk melaksanakan tugas yang diamanahkan."Orang Berbudi Kita Berbahasa, Orang Memberi Kita Merasa".
4. KAKITANGAN @ KELUARGA DI PEJABAT
  • BOS seringkali menganggap staf atau anak buahnya sebagai pekerja sahaja dan jarang menganggap mereka sebagi keluarga di tempat kerja. Ini menyebabkan mereka tidak di ambil kira tentang emosi dan permasalahan yang mereka hadapi. Layanlah mereka sebagai keluarga anda kerana mereka adalah keluarga kedua anda di pejabat. Bayangkan jika anda melayan keluarga anda sendiri dengan menganggap mereka sebagai pekerja di rumah anda. Apakah perasaan mereka? Tepuk dada, tanya minda.
5. BERIKAN HAK KAKITANGAN ANDA
  • Jangan halang HAK kakitangan anda jika anda BOS mereka. Hormatilah dan tunaikanlah hak-hak mereka seandainya mereka memerlukan anda. Hadirlah pada setiap jemputan yang mereka adakan. Bantulah dan hulurkanlah sumbangan jika mereka ditimpa musibah. Jangan berhitung dengan kuantiti yang anda berikan tapi ambil kira kualiti yang anda lakukan. Perkara seperti ini memberi impak dan besar nilainya disisi mereka walaupun apa yang anda lakukan tidaklah seberapa.

Sabtu, November 29, 2008

MASA : Bahagian 1





Masa? Apabila kita berbicara tentang "MASA", apakah kita menyedari kewujudan masa dalam kehidupan kita? Mungkin timbul pelbagai persoalan menyentuh perihal masa umpamanya bagaimana kita menggunakan masa? Terdapat satu tabiat yang tidak dapat dielakkan dalam kehidupan kita mengenai masa iaitu kita akan bertanya tentang masa:- "Pukul berapa sekarang?" Persoalan tersebut menunjukkan masa begitu penting dalam kehidupan kita walaupun tanpa kita sedari kita tidak mementingkan masa.




Pepatah Arab ada menyatakan "Masa itu ibarat pedang, jika kita tidak menggunakannya untuk memotong, ia akan memotong kita". Pepatah ini menggambarkan betapa pentingnya masa kepada kita. Masa sentiasa bergerak dan berlalu dan ia tidak pernah rehat mahupun berhenti. Tetapi kita yang seringkali menggunakan masa dalam kehidupan berasa penat dan lelah serta tidak berdaya. Lalu timbul ungkapan "Tiada masa, sibuk dan tidak cukup masa". Jika direnungkan kembali, kita dianugerahkan masa pada kadar yang sama rata iaitu 24 jam sehari, 7 hari seminggu dan 365 hari setahun. Apakah dengan fakta ini kita masih mempersoalkan tentang tiada masa, sibuk dan sebagainya dalam kehidupan kita? Tepuk dada, tanya minda.



Setiap hari kita akan melalui peredaran masa yang sama dan seringkali melakukan tugasan dan rutin harian yang sama.Bermula bangkitnya kita dari tidur yang lena sehingga kita tidur kembali, kita akan menggunakan masa untuk membina kehidupan dan kerjaya kita. Dan pada hari berikutnya kita akan terus mengulangi rutin harian yang sama sehinggakan kita kadang kala berasa jemu dengan kehidupan yang dilalui tersebut. Namun kita tetap menanamkan satu tekad, satu impian dan satu harapan yang sama iaitu kita akan berusaha untuk menjadi lebih baik dari hari sebelumnya. Setiap hari kita akan bangkit dari tidur dan berazam untuk mengubah kehidupan menjadi yang lebih baik dari hari sebelumnya namun adakah kita akan berjaya menjadikan harapan itu menjadi satu kenyataan?

Tentu ramai di kalangan kita berusaha untuk menggunakan masa yang ada untuk membina kehidupan seperti bekerja, bermain, berehat dan sebagainya. Tetapi berapa ramai di antara kita dapat menggunakan masa dengan lebih baik dan berkesan?. Jika ditanya pada diri sendiri, bagaimana kita menguruskan masa? Tentu tiada jawapan yang dapat merungkaikan persoalan tersebut. Ingatlah, jika kita gagal menguruskan masa bermakna kita gagal menguruskan kehidupan kita.

Renungkanlah petikan surah Al-'Ashr yang bermaksud ;"DEMI MASA, SESUNGGUHNYA MANUSIA ITU BERADA DALAM KERUGIAN, KECUALI BAGI MEREKA YANG BERIMAN DAN BERAMAL SOLEH, DAN MEREKA YANG TOLONG-MENOLONG ATAS KEBENARAN DAN TOLONG-MENOLONG ATAS KESABARAN."